TUJUAN Allah menurunkan musibah kepada hamba-Nya supaya dosa mereka
diampunkan. Pada masa sama, ada keterangan dan ayat menyatakan dosalah
juga menjadi penyebab datangnya bala.
Rasulullah pernah bersabda maksudnya: "Apabila Allah menyayangi
seseorang hamba-Nya, Allah menguji dengan kesusahan sama ada pada
diri, keluarga, anak mahupun pada harta supaya dibersihkan daripada
dosanya. Sekiranya dosa masih ada Allah akan membuatkan matinya
menjadi susah supaya apabila bertemu Allah dalam keadaan tidak
berdosa."
Apabila berhadapan dengan ujian, sebagai hambanya ketahuilah ia
mempunyai hikmah untuk kebaikan dan perlu mengambil pengajaran
daripadanya.
Jika dilihat pada sejarah, kenapa Allah azabkan kaum Nabi Nuh? Lebih
enam bulan mereka ditenggelami banjir besar.
Begitu juga dengan kaum Nabi Luth, Allah terbalikkan lapisan bawah
bumi naik ke atas, sementara yang atas dibenamkan ke perut bumi.
Kesannya masih dapat dilihat di Laut Mati, Jordan.
Lihat pula bagaimana kaum Aad dan Thamud mati terkapar terputus
jantung kerana terkejut bunyi gempita suara tempikan malaikat.
Pernahkah kita membaca sejarah Qarun yang tenggelam bersama
kekayaannya hingga membentuk tasik yang amat besar dengan airnya
laksana lautan.
Firaun pun begitu juga, kerana gah ingin merebut segala kekuasaan
hingga gelaran Tuhan pun mahu direbutnya. Akhirnya, dia bukan saja
tenggelam dalam laut malah kekuasaan, tentera dan gelarannya turut
lemas sekali.
Di sana ada 1,000 satu cerita kehancuran yang boleh dipelajari. Semua
peristiwa itu berpunca daripada dosa. Sayangnya Allah kepada hambanya
apabila segala yang ditimpa kepada hambanya tetap ada kebaikan
walaupun nampak memilukan.
Mereka yang mendapat petunjuk menyedari hikmah di sebalik ujian. Di
sini terdapat dua ujian. Pertama, bala dan kedua ibtila'. Ibtila'
adalah kepayahan dan bencana yang menimpa dalam bentuk ujian sementara
bala adalah bencana serta kesusahan ditimpa dalam bentuk hukuman.
Menghukum yang ingkar dan akhirnya bukan saja mereka tidak menginsafi
malah hancur dalam kemusnahan. Ibtila' yang melanda selepas menderita
kepayahan dan keperitan, mereka mula menginsafi kesalahan.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi tragedi bencana alam
seperti gempa bumi, tanah runtuh, tsunami, banjir besar itu untuk kita
bermuhasabah kebesaran Allah.
Kita juga diperintahkan supaya sentiasa bertaubat atas dosa silam yang
pernah dilakukan. Keinsafan yang hendak dikongsikan di sini ialah kita
sebenarnya tidak memiliki apa-apa kuasa dan lemah.
Bukan saja tidak mampu bersedia mengelak musibah malah meramal pun
tidak termampu. Petanda awal muncul tidak sempat dibaca. Allah Yang
Maha Berkuasa.
Malang sekali jika kita hendak beradu kuasa dengan Allah. Allah amat
marah kepada hambanya yang ingkar dan tidak mengikut petunjuk-Nya
selepas diberi peringatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/30


No comments:
Post a Comment